Ahad, 10 April 2011

Batam ke-2


Catatan Tinta Kembara Rasa (Masih dalam pembikinan)

SAMURA kembali lagi ke Batam pada 1-3 April 2011 yang lalu. Pada kali ini mengunjungi lokasi yang berbeza. Seawal 11.30 malam anak-anak SAMURA sudah berkumpul di Dewan Makan untuk menaiki bas yang dipandu oleh Pak Din. Cikgu Hassan Jaffar, Cikgu Rosminah Yos, Cikgu Noraini Samin dan Cikgu Hajah Noor'aini Ibrahim sudah menaiki bas awal-awal di depan Astaka, manakala Cikgu Zainudin dan Ustazah Faizah menunggu bersama-sama anak-anak SAMURA di Dewan Makan. Bas yang dipandu oleh Pak Daud dari Kluang tiba sedikit lewat. Itu tidak mengapa kerana lagi lewat lagi bagus. Tidaklah terlalu awal tiba di Terminal Feri nanti.


Tepat jam 12.00 tengah malam, bas yang dipenuhi dengan lapan orang anak teruna dan dua puluh tiga orang anak dara bersama-sama bapak guru dan ibu guru meluncur keluar dari pagar SAMURA menuju ke Batu Pahat. Pastinya ayahanda Haji Samian Sawiyo pengetua kanan yang dikasihi tidak boleh ditinggalkan kerana beliaulah ketua rombongan kami. Setelah melewati Batu Pahat dan mengambil ayahanda di rumahnya kami teruskan perjalanan menuju ke Pasir Gudang yang merupakan lokasi untuk kami memulakan perjalanan ke BATAM. Oleh sebab Pak Din perlu berada di SAMURA sebelum jam 7.00 pagi, kami terpaksa berada di Terminal Feri lebih awal. Sepanjang perjalanan anak-anak SAMURA melabuhkan kepala dan tidur dengan nenyak, bagai dibuai-buai dalam bas, terkejut apabila lampu dibuka dan kami tiba tepat jam 4.00 pagi di Terminal Feri Pasir Gudang.



Tempat duduk di lobi Terminal masih kosong, hanya kedengaran bunyi muzik disko kuat diikuti derai suara hilai tawa pengunjungnya. Kami duduk tetapi kurang selesa kerana waktu sebegini sesuai jika kaki berlunjur dan kepala berbantal. Itu bukan ukuran untuk menguji kesabaran berpergian. Kekuatan mental dan fizikal, ketabahan hati dan emosi itulah pendorong kepada kejayaan kembara kali ini. Anak-anak SAMURA ada yang sudah awal-awal 'sujud sahwi' malah ada yang 'sujud syukur' dengan duduk berteleku di bangku, tapi yang paling hebat anak-anak SAMURA berbuat begitu sambil memegang buku "SEJARAH" (sebab ibu gurunya ada di sisi), buku "BIOLOGI" (sebab ibu gurunya ada memerhati), juga buku "PENDIDIKAN ISLAM" (sebab ustazah sentiasa mencuri perhati), tapi tak ada yang memegang buku "BAHASA MELAYU" sebab rasanya tak perlu kot (walaupun tiga orang guru BM berada di situ).

Azan subuh memecah keheningan pagi, bergegas ke surau di belakang Terminal Feri Pasir Gudang untuk solat Subuh. Walaupun suraunya uzur tetapi masih boleh digunakan untuk kami memulakan musafir ke BATAM. Selesai solat, berkumpul semula di lobi Terminal. Alangkah seronoknya kalau perut dapat diisi dengan pengalas. Semua kedai masih tutup dan belum memulakan perniagaan. Rezeki anak-anak, Puan Mariam yang merupakan tuan punya counter tiket ke Batam menelefon memberitahu bahawa beliau akan membelikan anak-anak sarapan pagi dan perlu membeli air minuman sahaja. Semoga Allah SWT memberkati keprihatinan Puan Mariam. Itulah rezeki anak-anak namanya. Bersarapan secara lambak bersama-sama anak-anak SAMURA, pastinya ada yang kurang berselera kerana tidak tahu apa-apa yang akan berlaku sepanjang kembara nanti tetapi permulaan kembara telah diwarnai dengan rezeki murah. Rupanya bukan sahaja nasi lemak, mi hoon malah pisang berangan dan buah tangan juga diberikan kepada anak-anak SAMURA sebagai bekal sepanjang perjalanan. Terutamanya dalam feri. Tepat jam 9.00 pagi setelah semuanya bersiap, beg pun sudah di'tag' dengan tag nama, kami berangkat dan masuk ke dalam Feri Midi 2 yang sedia menanti. Sebelum itu pemeriksaan bagasi dan juga pasport dilakukan. Alhamdulillah semuanya lancar.

Dek bawah memuatkan 38 orang bersama-sama pengunjung BATAM yang lainnya. Jam 9.40 pagi 1 April 2011, kami meninggalkan Terminal Feri Pasir Gudang menuju ke penghujung perjalanan. Berdebar-debar juga perasaan kerana khuatir dilambung ombak atau dipukul badai, tetapi berkat doa anak-anak SAMURA yang dibacakan oleh 'Adib' semunya berjalan dengan selamat. Orang kata doa anak-anak tiada hijab, sebab itu menumpang di bawah lindungan Allah SWT melalui doa anak-anak, kita akan diberkati. Sepanjang perjalanan cuaca cerah. Sewaktu melewati perairan Singapura kelihatan kapal terbang naik dan turun di Lapangan Terbang Changi di Singapura dan bertentangan dengan itu pula ialah penghujung Johor iaitu Daerah Pengerang. Anak SAMURA bertanya juga ada tidak 'pirate' di situ. Mudah-mudahan semuanya selamat. Teringat juga kata-kata 'ustaz' kenapa nak pergi BATAM, tak pasal-pasal kena TSUNAMI nanti. Harap-harap itu bukan doa, sebab doa di bumi SAMURA makbul. Kalau nak mati tidak perlu dipukul tsunami, mungkin sambil berbaring atau sambil menanda buku latihan pelajar juga boleh mati. Dengan cabaran itu kami melangkah, menganggap semuanya itu sebagai satu ibadah. Bukankah belajar itu ibadah!?.

Sepanjang perjalanan di perairan Malaysia dan Singapura begitu tenang, setibanya di perairan Indonesia, feri yang dinaiki mulai menderas, barangkali menggambarkan sederas hati kami yang mahu cepat sampai. Ada yang terlena, ada yang asyik menatap keindahan lautan luas ciptaan Allah SWT, tidak ketinggalan juga yang naik ke atas feri untuk menghirup udara lepas yang segar. Bekalan yang dititipkan oleh Puan Mariam diunggis sedikit. Hati belum tenteram, hati belum tenang. Jam 10.30 pagi BATAM kami tiba di Pelabuhan Batam. Disambut oleh Ibu Fitri dan Ibu Nita lalu dibawa ke dalam bas. Lega amat kerana selamat sampai. Seperkara yang ada dalam fikiran ialah betapa prasangkanya kita terhadap bangsa lain selagi bangsa itu ada di negara kita, tetapi apabila berada di negara bangsa itu, prasangka itu hilang dengan sendirinya. Walaupun begitu hati masih tetap berwaspada. Pengajaran pertama yang didapati ialah kita juga bakal menjadi bahan prasangka apabila berada di tempat orang. Hai, anak-anak SAMURA pandai-pandailah membawa diri di rantauan, inilah rupanya pengalaman hidup, tidak boleh dibeli di mana-mana pasar, kecuali dialami sendiri.

Seminit di dalam bas, turun semula kerana tiba di lokasi untuk ber'posing' berlatar belakangkan WELCOME TO BATAM. Cuaca dan iklim yang sama di Malaysia tidak membezakan tetapi disebabkan oleh keadaan fizikalnya sebuah pulau, maka kehangatan lebih terasa. BATAM sedikit berbeza dengan daerah lain yang pernah dikunjungi. TANJUNG PINANG yang merupakan KOTA GURINDAM yang agak autentik. PADANG di SUMATERA BARAT pula lebih bercirikan Minangkabau, DUMAI pula lebih bersifat pinggir pantai manakala BUKIT TINGGI pula lebih menggambarkan kawasan pergunungan. Walaupun semuanya sama di Kepulauan Riau namun fizikalnya berbeza. BATAM lebih moden, barangkali pengaruh SINGAPURA dan juga menurut Ibu Fitri kesemua 33 suku kaum di Indonesia ada di BATAM kerana kedudukan dan lokasinya yang mewah dan strategik untuk mendapatkan peluang pekerjaan. Bangunannya tersergam Indah dengan perbagai reka bentuk membezakan BATAM dengan yang lainnya.

Naik semula ke dalam bas lalu mengunjung sebuah tempat bersejarah. Pokok yang ditanam oleh tiga orang Negarawan Malaysia, Indonesia dan Singapura mematerai perjanjian persahabatan. Sempat mengabdikan kenangan berfoto dengan anak-anak SAMURA di tempat itu. Kemudiannya kami berangkat ke sebuah kedai oleh-ole, bagi memberi peluang kepada anak-anak untuk membeli makanan yang boleh dijadikan bekalan sepanjang berada di BATAM. Ada yang memesan untuk terus dibawa pulang kerana perkhidmatan penghantaran akan diberikan di Terminal Feri hari terakhir kami nanti. Selepas membeli-belah di situ kami menuju ke Masjid Raya BATAM kerana solat Jumaat sudah hampir, anak-anak puteri SAMURA dan ibu guru serta Woon diturunkan di DC Mall untuk membeli-belah dan solat Zuhor. Menghabiskan masa lebih setengah jam di Masjid Raya BATAM yang tersergam indah, mengingatkan kami watan tercinta. Bahasa yang diungkapkan oleh Tuan Khatib sukar difahami tetapi rukun dan syarat Solat Jumaat lengkap kami ikuti.

Selesai Solat Jumaat, bas kami menyusuri lagi laluan yang sama ke DC Mall untuk mengambil anak-anak SAMURA dan Ibu guru. Kali ini destinasinya ialah makan di Restoran. Bercirikan bali, makan dengan enaknya kerana memang lapar benar perut kami. Air sirap limau nipis yang dihidangkan tidak mencukupi tetapi begitulah adatnya, di mana bumi dipijak di situ langit dijunjung. Berlatarbelakangkan padang "Golof" makanan yang secukupnya, licin dimakan, tidak berbaki. Menaiki bas kami menuju ke ASIAN MUSLIM CHARITY FOUNDATION, Darul Muhamadiah. Disambut oleh Bapak Mashudi, kami dibawa ke bilik komputer untuk diberikan taklimat. Taklimat tentang Madrasah Darul Muhamadiah memberikan kami peluang mengetahui perjalanan sistem pendidikan madrasah. Kami sempat mempelawa warga Madrasah dan AMCF untuk bertandang ke SAMURA pada bulan Julai 2011 untuk menyertai KEMUNCAK SERUMPUN

























Tiada ulasan: