Isnin, 11 Oktober 2010

Pengantarabangsaan SM Sains Muar ke Brunei Darussalam 8-10 Oktober 2010

Tanggal 8 Oktober 2010, Pasukan Pengantarabangsaan SAMURA seramai sembilan orang ahli yang terdiri daripada lima orang guru, seorang pegawai tadbir dan tiga orang pelajar telah mengadakan pengantarabangsaan ke Brunei Darussalam.
Pasukan Pengantarabangsaan SAMURA diketuai oleh Cikgu Mohammad Azman bin Abdul Hamid yang merupakan Guru Penolong Kanan Hal Ehwal Murid SM Sains Muar dan disertai oleh Cikgu Hajah Noorazianah binti Mohamed, Guru Kaunselor Cemerlang, Cikgu Hassan bin Jaffar, Guru Cemerlang Bahasa Malaysia, Cikgu Siti Norhida binti Osman@Othman, Ketua Panitia Bahasa Inggeris, Puan Rupiah bt A Rahman, Pegawai Tadbir Sekolah dan Cikgu Haji Zainudin bin Dirin selaku Penyelaras Program. Manakala tiga orang pelajar ialah Nadhirah binti Abdul Wahid dari kelas 5 Bijak, Fatin Hanani binti Fazail dari Kelas 4 Cerdik dan Nor Azeanty binti Mahmood dari kelas 4 Bijak.

Hari Pertama 8 Oktober 2010, kami bertolak dari SM Sains Muar menuju ke LCCT Sepang untuk menaiki pesawat Airasia pada pukul 3.00 petang. Walaupun lewat 30 minit tetapi kami tiba dan mendarat dengan selamat di Lapangan Terbang Miri pada pukul 6.30 petang dan terus mendaftar masuk di Hotel Miri. Bandar Miri menjadi laluan masuk ke Brunei kerana selain Brunei Darussalam, kami juga berhasrat melawat Bandar Miri dan tempat-tempat menariknya. Selepas mendaftar masuk di Hotel Miri, kami makan malam di Cafenika di Jalan Pahlawan bersama-sama. Hidangan mi kolok menjadi tarikan untuk kami mencubanya.
Hari Kedua 9 Oktober 2010, seawal 6.00 pagi kami sudah bersedia di lobi Hotel Miri untuk bersarapan sebelum bergerak ke Brunei Darussalam. Malangnya kebanyakan restoran mula beroperasi sekitar jam 7.30 pagi. Selepas Pemandu Pelancong tiba, kami singgah di Restoran untuk bersarapan sebelum meneruskan perjalanan ke Sekolah Menengah Masin yang mengambil masa selama dua jam setengah.
Pengalaman baru diperoleh sepanjang perjalanan menuju ke Sekolah Menengah Masin. Papan tanda nama kedai atau nama jalan dan sebagainya ditulis dengan tulisan rumi dan tulisan jawi menggambarkan masyarakat Melayu Brunei yang masih menyanjung tulisan jawi dalam kehidupan seharian.
Setibanya di Sekolah Menengah Masin pada pukul 10.30 pagi, kami disambut dengan paluan hadrah oleh pelajar-pelajar Sekolah Menengah Masin. Kami amat terharu dengan sambutan yang diberikan seawal di pintu masuk dan lobi sekolah. Ini menggambarkan bahawa kedatangan kami amat dialu-alukan. Kami seterusnya dibawa ke Bilik Persidangan. Selepas ucapan alu-aluan kami disajikan dengan minuman ringan. Pengetua Sekolah Menengah Masin, Cikgu Hajah Mariam binti Haji Ladi dalam ucapan alu-aluannya menyatakan bahawa rombongan daripada Sekolah Menengah Sains merupakan rombongan dari luar negara yang pertama pernah diterima oleh Sekolah Menengah Masin. Hal ini membanggakan kami juga kerana kami merupakan rombongan pertama yang menjalinkan persahabatan dengan Sekolah Menengah Masin.Ucapan balas disampaikan oleh ketua Rombongan iaitu Cikgu Mohammad Azman bin Abdul Hamid. Terima kasih yang tidak terhingga atas kesudian pihak Sekolah Menengah Masin menerima kunjungan kami. Dalam ucapan balas tersebut, Cikgu Mohammad Azman bi Abdul Hamid menjemput dan mempelawa warga Sekolah Menengah Masin untuk berkunjung balas dan datang ke Sekolah Menengah Sains Muar untuk meneruskan jalinan persahabatan. Taklimat tentang Sekolah Menengah Masin kemudiannya disampaikan oleh Pengetua dan majlis berakhir di situ dengan menandatangani surat perjanjian persahabatan dan jalinan yang mengakrukan bahawa tanggal 9 OKOBER 2010 terpaterilah persahabatan antara dua buah sekolah.
Rombongan kami kemudiannya di bawa melawat sekitar sekolah. Kemudahan infrastruktur yang canggih dan terbaharu memberikan impak kepada kami dan berharap agar suatu masa nanti sekolah kami juga mendapat kemudahan yang serupa.
Kami kemudiannya dibawa melawat, perpustakaan, bilik makmal, bilik seni dan akhirnya di bilik ERT. Tunjuk cara membuat dan menyediakan kuih tradisi masyarakat Brunei dibuat di situ selain tunjuk cara membuat ambuyat sejenis makanan tradisional masyarakat Brunei Darussalam. Bukan itu sahaja kami dihidangkan dengan pelbagai jenis makanan yang enak dan ada antaranya pertama kali dirasa dan dijumpai.Sebelum pulang majlis menyampaikan cenderamata dan buah tangan telah disampaikan oleh Cikgu Hajah Mariam binti Haji Ladi dan juga Cikgu Mohammad Azman bin Abdul Hamid. Rombongan kecil kami dilayan dengan layanan kelas pertama dan memang menjadi kenang-kenangan yang tidak dapat dilupakan.
Buah tangan yang diberi di samping Cenderamata untuk Sekolah yang sangat cantik. Sebelum pulang kami sempat bergambar bersama-sama di pekarangan sekolah. Semoga persahabatan yang terjalin akan berkekalan dan kami menanti kunjungan balas daripada warga Sekolah Menengah Masin ke sekolah kami.
Selesai mengunjungi Sekolah Menengah Masin, kami menuju ke Bandar Seri Begawan dan tempat pertama yang dilawati ialah Galeria barang-barang kebesesaran Raja-Raj Brunei Darussalam. Kemudian kami makan tengah hari di sebuah restoran dan menuju ke Masjid Sultan Bolkiah untuk menunaikan sembahyang Jamak Qasar Zuhor dan Asar. Kemudian buat pertama kalinya kami menaiki bot untuk melihat dengan mata sendiri petempatan di kampung air di Bandar Seri Begawan yang merupakan petempatan Kampung Air yang terbesar di Asia. Petempatan ini mengandungi populasi seramai 30,000 orang penduduk, 33 buah kampung kecil, ada sekolah rendah, sekolah menengah, balai polis, balai bomba, masjid dan pelbagai kemudahan lain.
Hari Ketiga 10 Oktober 2010, Seawal jam 7.00 pagi kami keluar mencari sarapan, akhirnya menemui Restoran Muara di Bandar Miri, Mencuba Nasi Lelapan, selain Mi Kolok. Kemudian kami mengunjungi Sekolah Menengah Sains Miri sebagai pemanis budi kerana meminjamkan pemandu dan bas sepanjang lawatan pada hari Jumaat dan hari Ahad. Bertemu dengan Cikgu Nor Hisham Guru Penolong Kanan Hal Ehwal Murid Sekolah Menengah Sains Miri, persekitaran yang bersih, ceria dan penuh dengan informasi memberikan kami semangat untuk mengindahkan pekarangan SAMURA pada masa akan datang.

Kami mengunjungi GRAND OLD LADY di atas puncak bukit. Merupakan tempat pertama lokasi minyak ditemui di Miri. Sempat mengunjungi Museum Petroleum. Memang bangunan yang berbentuk moden memberikan nafas baru apatah lagi kedudukannya di atas bukit yang jelas dari kejauhan banjaran Gunung Mulu, gunung tertua di dunia. Kemudiannya ke Kilang Kek Batik di tepian sungai dan akhirnya ke Borneo Handicraf sebelum hi-tea di Hotel Megah.
Bertolak pulang pada pukul 2.00 petang ke Lapangan Terbang Miri, walaupun penerbangan lewat hampir 2 jam, kami tiba dengan selamat di LCCT Sepang pada pukul 9.30 malam.
Berita kemalangan jalan raya di lebuh raya yang mengorbankan 12 nyawa menyebabkan kami memilih jalan alternatif iaitu jalan lama untuk pulang ke SAMURA. Kami selamat tiba di SAMURA tepat jam 1.45 pagi 11 Oktober 2010. Misi terlaksana sepenuhnya.