Sabtu, 5 November 2011

Jakarta-Bandung 24-28 Julai 2011




Kali ini SAMURA menjejakkan kaki pula ke Pulau Jawa buat pertama kalinya setelah sekian lama menakluki Pulau Sumatera dan Kepulauan Riau. Dengan misi yang sama, SAMURA berangkat dengan seramai 30 orang peserta.


24 JULAI 2011 (AHAD)
Seawal jam 9 pagi, peserta berkumpul di Dewan Makan SAMURA. Bercampur-baur perasaan yang timbul. Tetapi apabila melangkah masuk ke dalam bas yang dipandu oleh Pak Din, perasaan tersebut hilang. Inilah kelebihan menyertai program sekolah. Semuanya selesa sejak pertama kali kerana semua peserta sudah dikenali sedari awal, berbanding bercuti bersama keluarga, menyesuaikan diri dengan ahli rombongan mengambil masa yang agak lama. Semuanya sudah sedia, bas meluncur ke Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur kerana penerbangan pada kali ini menaiki KLM sebuah syarikat penerbangan Belanda.


Perjalanan selama 2 jam dari SAMURA ke KLIA, tidak terasa kerana semuanya seronok dan tertanya-tanya. Berhenti sebentar di R&R Seremban untuk mengalas perut dengan makanan memberi peluang kepada kami untuk merawat diri. Setibanya di KLIA, terus mendaftar diri di kaunter Check-In KLM. Semuanya berjalan sebagaimana yang diharapkan. Pada awalnya jurutiket tidak membenarkan cenderamata yang dibawa dimasukkan sebagai bagasi, namun akhirnya kami membawa ke dalam pesawat dan letakkan di ruang penyimpanan barang di atas. Kami masuk ke ruang menunggu awal satu jam sebelum penerbangan. Tepat jam 4.50 petang kami berangkat ke Jakarta.
Kami tiba di Lapangan Terbang Cengkareng Sukarno-Hatta di Jakarta, pada pukul 5.50 petang Waktu Indonesia Barat, sejam lebih awal dari waktu di Malaysia. Kalau di Malaysia waktu tersebut ialah pukul 6.50 petang. Memang cuacanya sudah hampir Senja, lalu kami diperkenalkan dengan pemandu pelancong yang akan membawa kami menuju ke Bandung. Sebelum itu kami makan malam di sebuah restoran di Jakata itu.

Bertolak dari Lapangan Terbang Cengkareng Sukarno-Hatta ke Bandung menaiki bas yang disediakan oleh Syarikat Pelancongan PT Aishah Perdana. Memakan masa selama hampir 3 jam 30 minit ke Bandung, kami akhirnya tiba di Bandung hampir pukul 11.30 malam. Check In di Hotel Sukajadi, Bandung, Indonesia. Hotelnya walaupun bertaraf 2 bintang tetapi cantik dan bersih. Hiasan dalamannya dipenuhi dengan ciri-ciri kebudayaan tempatan. Kepenatan setelah hampir 18 jam dalam perjalanan, akhirnya kami tidak sedar terlelap. Namun sebelum itu, peserta rombongan diminta supaya berjaga bangun waktu Subuh untuk bersiap sedia dengan program sepanjang hari esoknya.
25 JULAI 2011 (ISNIN)
Sarapan Pagi di Hotel Sukajadi, Bandung, Indonesia memang menyeronokkan, ditambah dengan suasana dan cuaca sejuk di kota Bandung, menyelesakan sesiapa yang berkunjung ke sini. Kota Bandung memang terkenal dengan keindahan alam semula jadi dan merupakan kota wisata, bersuhu rendah dan berada di puncak gunung berhampiran dengan Kawah Gunung Berapi Tangkuban Perahu.
Kami menaiki bas yang disediakan oleh Syarikat Pelancongan PT Aisyah Perdana ke Program Perkongsian Ilmu dengan Sekolah Menengah Atas Negeri 1 Bandung, Indonesia. Walaupun agak lewat dengan kerenah peserta yang belum bersiap akibat tidak ada bekalan seterika, namun tidak mematahkan semangat kami untuk berkembara. Setibanya di SMAN1 Bandung, kami disambut dengan penuh mesra oleh warga sekolah dan dibawa ke Dewan Besar sekolah tersebut. Diberikan sambutan hangat dengan persembahan kebudayaan daripada pelajar-pelajar sekolah tersebut, menggambarkan masyarakat yang penuh berbudaya dan bertamadun. Turut dihindangkan makanan tradisional masyarakat Indonesia, air minuman yang lazat iaitu cendol pasti tidak dapat dilupakan.
Majlis dimulakan dengan Ucapan Alu-aluan Kepala Sekolah SMAN1 Bandung dan kemudiannya dihidangkan dengan tayangan slaid infrastruktur sekolah tersebut. Ucapan Ketua Rombongan dari SM Sains Muar iaitu daripada Tuan Haji Samian bin Sawiyo, Pengetua Kanan sekolah kami, memberikan info dan maklumat kepada mereka tentang tujuan dan objektif lawatan dan berharap agar hubungan dua hala dan silaturahim dapat dipererat dari semasa ke semasa. Kami juga menghidangkan kepada mereka slaid video SICSEF (SAMURA International Cultural, Sports and Educational Festival) sebagai satu cara mempromosikan aktiviti tersebut kepada mereka. Pelajar-pelajar SM Sains Muar juga mempersembahkan tarian Zapin kepada mereka. Persembahan angklung dan paduan suara siswa SMAN1 Bandung memang hebat. Memberikan inspirasi kepada kami untuk berbuat lebih baik pada masa akan datang. Turut diadakan penyampaian cenderamata kepada kedua-dua sekolah dan diakhiri dengan sesi bergambar beramai-ramai.
Selepas itu peserta rombongan menyertai Program Perkongsian Ilmu antara Pelajar SM Sains Muar dengan Siswa SMAN1 Bandung. Mereka dibawa melawat sekitar pekarangan sekolah. Ada yang masuk ke dalam kelas dan ada juga yang masuk ke bilik-bilik khas untuk mengetahui dengan mendalam kemudahan infrastruktur yang ada di sekolah tersebut. Kenangan dan pengalaman yang berharga diperoleh sepanjang kami berada di situ, semoga yang baik dapat dijadikan panduan kepada penambahbaikan di SAMURA kelak.

Kemudiannya kami Menaiki bas yang disediakan oleh Syarikat Pelancongan PT Aisyah Perdana untuk menunaikan Solat di Masjid Raya Bandung, Indonesia, dan Makan Tengah hari di Restoran Tempatan. Selepas itu kami melaksanakan Program Perkongsian Ilmu dengan Pusat Vulkanologi dan Mitigasi Bencana Geologi, yang terletak di tengah-tengah Kota Bandung, Indonesia. Sebelum berkunjung ke pejabat, kami diminta untuk menelusuri Muzium Geologi yang berada di bahagian hadapan kawasan tersebut. Banyak infomasi tentang vulkologi dan bencana geologi yang diperlihatkan dan dipamerkan di situ. Sempat merakamkan beberapa aksi dan gambar sebagai kenang-kanangan.
Kemudian kami berkunjung ke pejabat Pusat Vulkanologi dan Mitigasi Bencana Geologi. Kami disambut mesra oleh pegawai yang bertugas. Ucapan Alu-aluan Kepala Pusat memberikan kami banyak info yang boleh dimanfaatkan. Walaupun vulkanologi tiada di Malaysia tetapi bencana geologi dan bencana alam bakal terasa pada bila-bila masa sahaja. Kemudiannya ucapan balas Ketua Rombongan dari SM Sains Muar iaitu Tuan Haji Samian bin Sawiyo. Taklimat tentang PVMBG diteruskan dengan tayangan video berkaitan gunung berapi. Taklimat tentang tugas dan peranan PVMBG turut disampaikan dan memberikan kami gambaran sebenar tugas seharian mereka yang mencabar 24 jam sentiasa bersedia. Kami pulang selepas menyampaikan cenderamata dan menerima cenderamata daripada mereka sebagai kenang-kenangan. Banyak buku berkaitan dengan kegiatan gunung berapi dibekalkan supaya dapat dibawa pulang dan manfaatkan bersama-sama.

Selepas makan malam, kami pulang ke Hotel Sukajadi dan sempat untuk berkunjung ke Van Da Java Mall untuk melihat-lihat dan menikmati keindahan malam di Kota Bandung. Pulang ke hotel, terus tidur dengan selesa pada malam kedua.
26 JULAI 2011 (SELASA)
Memulakan pagi dengan bersarapan Pagi di Hotel Sukajadi, Bandung, kemudiannya menaiki bas yang disediakan oleh Syarikat Pelancongan PT Aisyah Perdana ke Program Perkongsian Ilmu dengan Fakultas Kedokteran, Universitas Padjadjaran, Bandung, Indonesia. Ketibaan kami disambut mesra oleh para pensyarah. Ketenangan universiti memang tidak dapat dinafikan, pastinya bakal melahirkan graduan yang dapat berfikir dengan tenang. Kami dibawa ke bilik taklimat dan diberikan ucapan Alu-aluan oleh Dekan Fakultas Kedoktaran UNIPAD. Kemudiannya Ucapan Ketua Rombongan dari SM Sains Muar, ayahnada Tuan Haji Samian bin Sawiyo memaklumkan tujuan kunjungan dibuat. Banyak ilmu yang disampaikan dan kemudiannya para peserta dibawa ke bilik anatomi. Mereka diperkenalkan dengan futus dan bahagian anggota manusia termasuk sekujur tubuh yang digunakan sebagai praktikal kepada siswa yang belajar di UNIPAD.
Peserta rombongan amat tertarik dengan kemudahan pembelajaran yang disediakan. Sempat masuk ke dalam kuliah medikal dan beramah mesra dengan pelajar. Ramai antaranya terdiri daripada pelajar dari Malaysia. Peserta program menyerahkan cenderamata rantai kunci dan pena sebagai kenang-kenangan kepada mereka.
Selepas penyampaian cenderamata, kami pun dibawa melawat tempat kediaman para peserta. Kemudahan yang selesa amat menyamankan suasanya. Tidak sangka bertemu dengan seorang pelajar dari SAMURA yang belajar di sana. Kegembiraan kami terasa apabila disapa oleh pelajar tersebut dan memberikan gambaran bahawa anak-anak SAMURA memang ada di mana-mana pelosok dunia untuk menuntut ilmu. Selepas makan tengah hari di sebuah restoran tempatan, kami kemudiannya dibawa ke tempat membeli-belah di Cibaduyut. Menghabiskan masa beberapa jam di situ sambil mencari cenderamata. Kemudiannya kami ke Tangkuban Perahu, tetapi malangnya setibanya kami di sana, keadaan sudah hampir gelap dan tidak dibenarkan untuk menuju puncak.
Kekesalan di hati muncul, namun Pak Dodi yang merupakan pemandu pelancong, mengembirakan hati kami dengan belanja makan jagung bakar sambil menikmati keindahan pokok teh di puncak gunung tersebut. Keadaan semakin malam, kami pulang ke Hotel dan bersiap-siap untuk ke Cerebon, esok.
27 JULAI 2011 (RABU)
Bersarapan pagi di Hotel Sukajadi, Bandung buat kali terakhir, kami check-out dan bertolak ke Cirebon, sebelum itu masih sempat untuk kami membeli-belah di pasar cenderamata yang ada di Bandung sebagai ole-ole. Menghabiskan masa hampir 3 jam di pasar, selepas makan tengah hari kami menuju ke Cirebon.

Sepanjang jalan memang melihat keindahan alam semula jadi yang masih terpelihara. Tiba di Cerebon lewat malam, dan terus Check In di Hotel Cerebon, Indonesia. Keesokan harinya selepas bersarapan kami bergegas ke SMAN1 Sumber, Kabupaten Cirebon untuk membuat kunjungan balas ke sekolah tersebut yang pernah berkunjung ke SAMURA pada 8-10 Julai 2011 yang lalu. Disambut meriah dengan pancaragam sekolah, kami dibawa masuk ke bilik taklimat dan diberikan taklimat tentang perjalanan persekolah. Kemudiannya kami dibawa untuk menyaksikan persembahan kebudayaan yang telah disediakan oleh siswa SMAN1 Sumber. Tarian yang mengasyikkan menggambarkan kayanya kebudayaan mereka. Tuan Haji Samian bin Sawiyo juga sempat naik ke atas pentas dan bersama-sama menyanyikan lagu dengan mereka. Keakraban terasa antara kedua-dua belah pihak. Kami pasti akan berkunjung lagi. Sebelum pulang kami diberikan cenderamata dan melawat sekitar sekolah serta makan tengah hari bersama-sama. Pulang dengan perasaan puas hati mendapat layanan kelas pertama daripada mereka.
Kemudiannya, kami dibawa ke sebuah toko batik. Baharu saat itulah kami mengenal batik mega mendung yang memang aslinya daripada Cirebon. Sempat menghabiskan masa beberapa jam di situ akhirnya kami bergerak ke Jakarta melalui lebuh raya utara. Pemandangan sekitar lebih raya ini dipenuhi dengan sawah padi dan juga tepi pantai. Sungguh mengasyikkan. Walaupun cuaca panas namun kami seronok dengan pengalaman baru ini. Kami tiba di Jakarta sudah hampir malam, check in di Hotel Patra Jakarta. Selepas makan malam di cafe hotel tersebut, malamnya kami tidak ke mana-mana sebaliknya menghabiskan masa di hotel.
28 JULAI 2011 (KHAMIS)
Memulakan pagi dengan bersarapan di Hotel Patra Jakarta di Jakarta, langsung kami Check Out dan menaiki bas dengan Syarikat Pelcongan PT Aisyah Perdana untuk Kunjungan Rasmi ke Kedutaan Besar Malaysia di Jakarta, Indonesia. Kami disambut oleh Encik Riaz Abd Razak, pegawai di Kedutaan.


Dalam Ucapan Alu-aluannya beliau memberikan info tentang bidang tugas Duta di sesebuah negara. Ucapan Ketua Rombongan dari SM Sains Muar, mengakhiri kunjungan selain Penyampaian Cenderamata sebagai kenang-kenangan. Kami akhiri kunjungan dengan Sesi Bergambar bersama-sama. Saat di sinilah kami bertemu dengan tiga orang bekas pelajar SAMURA yang belajar di UKRIDA, TRISAKTI. Seronok bertemu dengan mereka di sana. Mereka turut serta dalam rombongan dan makan tengah hari bersama-sama. Akhirnya kami berkunjung ke sebuah pasar bagi memberi peluang kepada peserta rombongan membeli-belah buat kali terakhir. Dua jam diperuntukkan di situ, dan akhirnya kami bertolak ke Lapangan Terbang Cengkareng, Sukarno-Hatta, Jakarta untuk pulang ke Malaysia.
Ditemani oleh bekas pelajar SAMURA, kami Check In bagasi di Lapangan Terbang Cengkareng Sukarno-Hatta, di Jakarta dan kami masuk pesawat lebih kurang pukul 8.00 malam. Bertolak ke KLIA dengan menggunakan Syarikat Penerbangan KLM dan tiba di KLIA, Sepang, Malaysia pukul 11.00 malam. Bertolak pulang ke SM Sains Muar dagn menaiki bas sekolah dan Tiba di SM Sains Muar tengah malam. Walaupun acara padat namun kepuasan terpancar di wajah masing-masing.