Selasa, 12 Mei 2009

KUNJUNGAN BALAS SMAN1 PADANG PANJANG

SAMURA 23 APRIL – Seramai 39 orang pelajar dan 3 orang guru pengiring daripada SMAN1 Padang Panjang, Sumatera Barat, Republik Indonesia telah datang ke SAMURA. Kunjungan buat pertama kali ke SAMURA bertujuan sebagai kunjungan balas kepada rombongan pelajar dan guru SAMURA pada Oktober tahun lalu.


Rombongan yang diketuai oleh Bapak Hendreson tiba di SAMURA pada pukul 3.30 pagi disambut mesra oleh Guru Penolong Kanan Hal Ehwal Murid Tuan Haji Abd. Shukor bin Salikin, Timbalan Ketua Warden Encik Mohammad Azman bin Abdul Hamid, dan Setiausaha Sambutan Tuan Haji Zainudin bin Dirin serta beberapa orang pelajar. Selepas mengalas perut dengan air panas dan bubur lambuk mereka ditempatkan di asrama.

Seawal 7.30 pagi kesemua peserta dipersilakan untuk bersarapan pagi bersama-sama Ayahanda Pengetua Tuan Haji Samian bin Sawiyo, Guru-guru Penolong Kanan dan Guru-Guru Kanan Bidang. Kemudian mereka dibawa ke Bilik Seminar SAMURA untuk diberikan taklimat. Tuan Haji Samian bin Sawiyo memberikan ucapan alu-aluan dan kemudiannya ucapan balas oleh Bapak Hendreson. Peserta kemudiannya diberikan taklimat tentang SAMURA terkini melalui tayangan video diikuti oleh pelajar-pelajar SMAN1 Padang Panjang.

Peserta rombongan diiringi oleh pelajar-pelajar di bawa ke Dewan Besar SAMURA untuk menyaksikan pementasan Drama Bahasa Inggeris. Selepas itu mereka dipecahkan kepada beberapa kumpulan dan melakukan beberapa aktiviti bersama-sama dengan pelajar-pelajar SAMURA. Aktiviti dijalankan dengan menggunakan pengantar Bahasa Inggeris sepenuhnya.


Peserta-peserta lelaki dibawa ke Masjid Jamek Bandar Maharani 2 untuk bersolah Jumaat manakala peserta-peserta perempuan tinggal di asrama dan melakukan aktiviti bersama-sama dengan pelajar-pelajar perempuan yang lain seperti aktiviti usrah dan sebagainya. Guru-guru pengiring kemudiannya dijamu bersama-sama pelajar-pelajar yang lain selepas solat Jumaat.

Pada pukul 3.00 petang peserta-peserta perempuan SMAN1 Padang Panjang menjalani aktiviti sukaneka bersama-sama dengan pelajar-pelajar perempuan SAMURA . Manakala bagi pelajar lelaki pula mereka bersama-sama bermain bola sepak. Keadaan padang riuh-rendah dengan sorakan pelajar-pelajar SAMURA. Kesemua peserta menerima cenderamata selepas aktiviti tersebut.

Bapak Kepala Sekolah Bapak H. Ridwan Mpd tiba di SAMURA pada pukul 6.30 petang dan turut bersama-sama diraikan. Seawal 7.45 malam semua peserta rombongan telah dijamu dalam Majlis Jalinan Kasih (Hi-Table) bersama-sama semua pelajar dan guru-guru SAMURA di Dewan Makan.


Tepat pukul 8.30 malam peserta rombongan diarak dengan kompang menuju ke Dewan Besar. Setibanya di Dataran SAMURA, pasukan pesilat membuat persembahan silat, kemudiannya dibawa ke hadapan Dewan Besar SAMURA untuk upacara menanam pokok jati sebagai simbolik hubungan yang kukuh dan teguh antara kedua-dua buah sekolah. Upacara ini disempurnakan oleh Tuan Haji Samian bin Sawiyo dan Bapak H. Ridwan Mpd.

Selesai sahaja ucapan alu-aluan daripada Tuan Haji Samian bin Sawiyo dan ucapan balas oleh Bapak H. Ridwan Mpd, kedua-dua pihak memeterai Memorendum Persefahaman antara kedua-dua buah sekolah. Antara kandungan Memorendum Persefahaman tersebut ialah Perkongsian pengalaman dan kepakaran dalam hal-hal berkaitan dengan proses pengajaran dan pembelajaran, menggalakkan kerjasama dalam pengembangan antara Kurikulum dan Teknologi Maklumat dan Komunikasi, menyediakan peluang komunikasi antara guru-guru dan pelajar-pelajar dari kedua-dua buah sekolah, memotivasikan pelajar-pelajar dari kedua-dua sekolah menjadi insan proaktif dan berfikiran kritis, menggalakkan kefahaman sosial dan budaya, dan meningkatkan kecemerlangan sekolah melalui program pengantarabangsaan.


Kemudian , persembahan kebudayaan daripada pelajar-pelajar kedua-dua buah sekolah. Dimulai dengan persembahan pengucapan berpuisi (Choral Speaking), diikuti oleh persembahan Koir Voice of Soul dan persembahan ketiga daripada pelajar SAMURA ialah Tarian Sewang. Pelajar-pelajar daripada SMAN1 Padang Panjang pula membuat persembahan nyanyian vokal, nasyid, sketsa dan juga Tarian Minang. Pelajar daripada kedua-dua buah sekolah memberikan persembahan yang membanggakan apatah lagi dengan keletah juruacara yang pertama kali digandingkan iaitu Kamachi dan Reza.

Keesokan paginya, mereka diraikan dalam satu majlis perpisahan. Rombongan daripada SMAN1 Padang Panjang menyatakan penghargaan dan gembiranya diberikan sambutan yang begitu baik daripada warga SAMURA. Pihak SAMURA pula berharap agar hubungan antara kedua-dua pihak dapat diteruskan dan kerjasama erat dapat dijalinkan. Mereka berangkat pulang diiringi dengan doa semoga dapat bertemu kembali. AZBID