Rabu, 6 April 2011

Batam 2011

Sebagai pembuka tirai Program Pengantarabangsaan SM Sains Muar bagi tahun 2011, satu kunjungan ke Pulau Batam, Kepulauan Riau, Indanesia telah diadakan pada 25-27 Februari 2011. Seramai 23 putera puteri SAMURA dan 16 orang guru serta staf SAMURA telah menyertai program ini.

25 Februari 2011

Perjalanan dimulakan seawal jam 2 pagi untuk menuju ke Terminal Feri Pasir Gudang. Sekitar jam 6 pagi, kami sampai di Pasir Gudang lalu menunaikan solat Subuh di Masjid Jamek Pasir Gudang dan bersarapan di Restoran Sasa. Guru-guru Panitia Fizik menaja sarapan kami pada pagi itu. Selepas itu, kami ke jeti untuk meneruskan perjalanan ke Batam. Pada jam 9.45 pagi, kami bertolak ke Batam dengan menaiki feri dan tiba di sana pada jam 11.00 pagi. Setibanya kami di sana, kami dibawa melawat kawasan sekitar dengan menaiki bas sambil mendengar serba sedikit sejarah Pulau Batam yang disampaikan oleh Ibu Fitri (pemandu pelancong kami) .

Seterusnya, kami makan tengah hari di Restoran Padang sebelum pelajar-pelajar dan guru-guru lelaki menunaikan Solat Jumaat. Usai Solat Jumaat, kami menuju ke Kampung Tua Kota Batam dan bagi puteri-puteri dan guru-guru wanita SAMURA, kami menunaikan solat fardu Zohor di musolla yang terdapat di kampung tersebut. Selepas itu, kami melawat sebuah rumah tradisional di kampung tersebut yang dijaga oleh Pak Unggal. Di dalam rumah tersebut terdapat replika pengantin yang berpakaian mengikut tradisi Batam sedang bersanding di pelamin, dan berhadapan dengan pelamin tersebut, terdapat kamar beradu bagi pengantin itu. Menurut Pak Unggal, mengikut tradisi Batam, kamar beradu bagi pengantin perlu terletak berhadapan dengan pelamin. Selepas itu, kami dipersembahkan dengan tarian ‘Selamat Datang’ oleh warga kampung tersebut. Selesai mempersembahkan tarian mereka, beberapa orang pelajar SAMURA dijemput untuk menari bersama-sama. Gelagat pelajar SAMURA yang kelihatan kekok menarikan tarian tersebut agak melucukan dan mencuit hati. Seterusnya, kami pergi ke Pusat Makan Khas Melayu Batam untuk menikmati dan membeli kuih-kuih tradisional Batam, sebelum ke Nagoya Mall untuk membeli belah. Pengembaraan kami diteruskan lagi ke Batam Miniature Traditional House of Indonesia yang mempamerkan replika 33 buah rumah tradisional masyarakat Indonesia.

Antara sepuluh daripada 33 buah rumah tersebut ialah :

Lam. Lembaga Adat Melayu

Prov. Bengkulu R.Bumbungan Limas

Prov. Daerah Istimewa Acheh R. Acheh

Prov. Sumatra. Utara. R. Balai. Batak. Toba

Prov. Sumbar. R. Gadang

Prov. Jabar R. Kasepuhan

Prov. Dki. Jakarta R. Joglo

Prov. Lampung D. Nuwosesat

Prov. Sumatra Selatan. R. Rakit

Selepas melihat kesemua replika rumah tersebut, kami dibawa ke Restoran Seafood Golden Prawn 555 untuk menikmati hidangan makan malam. Kami disajikan dengan pelbagai makanan laut seperti ketam, ikan siakap, udang, sotong, dan juga Siput Gonggong. Selesai menjamu selera, kami ‘check in’ di Hotel Sari Jaya, Nagoya, Batam.

26 Februari 2011

Seawal jam 7.00 pagi, kami bersarapan di hotel dan seperti yang diarahkan oleh Cikgu Sharul Hafiz, kami berkumpul di lobi hotel pada jam 9.00 pagi untuk bergerak ke Sekolah Menengah Atas Negeri 1 (SMAN 1) Batam. Tepat jam 9.45 pagi, kami sampai di SMAN 1 Batam. Rombongan kami telah disambut meriah oleh warga SMAN 1 diirngi dengan paluan kompang. Kami dimaklumkan bahawa SMAN 1 Batam merupakan sekolah yang tertua di Batam dan pelajar-pelajar SMAN1 diwajibkan untuk menghadirkan diri ke sekolah pada hari Sabtu kerana program Pengajaran dan Pembelajaran (P&P) diadakan pada hari tersebut. Hal ini adalah untuk mengekalkan kejayaan mereka dalam bidang akademik. Pada jam 11.52 pagi, memorandum persefahaman antara SAMURA dan SMAN 1 Batam ditandatangani di Dewan Besar SMAN 1 Batam. Seterusnya, kami disajikan hidangan makan tengah hari di sekolah tersebut.

Selepas selesai sesi fotografi bersama warga SMAN 1 Batam, kami meneruskan perjalanan ke Madrasah Darul Falah. Setelah kira-kira satu jam perjalanan, kami sampai di Madrasah tersebut. Majlis dimulakan dengan bacaan ayat suci Al-Quran oleh wakil pelajar Madrasah Darul Falah. Seterusnya, majlis diteruskan lagi dengan ucapan oleh Bapak Kepala Madrasah dan juga Pengetua SAMURA, Tuan Haji Samian bin Sawiyo. Selepas itu, kami dipersembahkan dengan Tarian Kunda-Kundi yang ditarikan oleh 6 orang siswi MTS Madrasah Darul Falah. Menariknya, tarian ini diiringi dengan lagu yang dinyanyikan oleh Datuk Siti Nurhaliza dan ini menunjukkan bahawa betapa hebatnya Malaysia sehingga mendapat pengaruh di Batam. Selesai persembahan oleh kedua-dua belah pihak, memorandum persefahaman antara SAMURA dan Madrasah Darul Falah ditandatangani tepat jam 4.06 petang di salah sebuah kelas (P&P) yang dijadikan tempat berhimpun.

Usai penutupan majlis dan sesi fotografi, kami beredar dari Madrasah Darul Falah dan menuju semula ke Pekan Jodoh untuk membeli-belah di Batam Central Mall dan juga Nagoya Mall. Pada jam 8.35 malam, kami dibawa ke Restoran Sunda Sawargi untuk menikmati hidangan makan malam ala Sunda. Selepas menjamu selera, kami pulang ke Hotel Sri Jaya, Bumi Indah Complex, Nagoya Batam.

*Masa yang dipaparkan adalah mengikut waktu Malaysia.

Informasi tambahan yang saya peroleh daripada Ibu Fitri :

- Indonesia mempunyai 400 dialek.

- Suku terbesar di Indonesia ialah suku Jawa! J

- Indonesia mempunyai 18111 pulau dan 6000 pulau masih belum dihuni.

- Antara pulau terbesar di Indonesia ialah Pulau Kalimantan, Sulawesi, Inderajaya, Sumatera dan Jawa.

- Hotel Pacific Palace di Batam (hotel bertaraf 4 bintang) dibina menyerupai sebuah kapal yang besar sebagai tanda memperingati kejadian Tsunami di Acheh.

- Jumlah penduduk Batam ialah seramai 1006036 orang.

- Jambatan Barelang di Batam menghubungkan sebanyak 6 buah pulau.

- Sistem pendidikan tadika di Batam adalah percuma.

- Masjid Baitusysyakur merupakan antara masjid tertua di Batam.

- Pulau Batam hanya mempunyai bukit dan tidak mempunyai gunung.

- Daerah Skupang mempunyai banyak kantor pemerintahan.

- Pelajar SMP/ MTS berusia antara 12-15 tahun.

- Pelajar SMA pula berusia antara 16-19 tahun.

- Di Batam lahir 114 bayi sehari.

- Di kawasan yang bernama Panbil di Batam terdapat 170 000 orang pekerja.

- Hanya 1/3 Pulau Batam dibangunkan untuk bangunan, prasarana, industri dan lain-lain. Manakala 2/3 lagi mestilah dikekalkan untuk mengelakkan penggunaan kos untuk penyulingan air dan juga untuk mengukuhkan struktur pulau tersebut.

27 Februari 2011

Hari Ketiga pada pukul 7.30 pagi kami menikmati sarapan pagi di Hotel Sri Jaya. Selepas itu, kami bersedia di lobi hotel bersama beg pakaian kami untuk ‘check out’. Selepas Pemandu Pelancong tiba, kami menaiki bas menuju ke Jambatan Barelang 1. Perjalanan mengambil masa 45 minit. Jambatan 1 Barelang merupakan Ikon Kota Batam. Jambatan ini menghubungkan enam buah pulau iaitu; Pulau Batam, Pulau Tonton, Pulau Nipah, Pulau Rempang, Pulau Galang dan Pulau Galang Baru.Nama enam buah jambatan yang menghubungkan enam pulau ini ialah Jambatan Barelang, Jambatan Tengku Fisabilillah, Jambatan Nara Singa, Jambatan Raja Ali Haji, Jambatan Sultan Zainal Abidin, Jambatan Tuanku Tambusai dan Jambatan Raja Kecik. Jambatan Barelang atau dikenali sebagai Jambatan Habibie merupakan singkatan dari BAtam, REmpang,GaLANG.Kami berhenti di jambatan Barelang untuk mengambil gambar kenangan.Dari atas jambatan kami dapat melihat pemandangan laut yang amat cantik.Ketika di jambatan terdapat penjual yang menjual aiskrim dan makanan seperti kepiting goreng dan rempeyek udang yang besar-besar belaka.

Setibanya kami di Pulau Galang, kami mengunjungi Camp Pengungsi Vietnam. Kem ini mengisahkan peristiwa ratusan ribu penduduk Vietnam bahagian selatan yang melarikan diri meninggalkan kampung halaman mereka untuk mengungsi ke negara lain ketika perang saudara di Vietnam. Di dalam kem ini terdapat barak pengungsian, monumen kapal, rumah sakit, tapak perkuburan, tempat ibadat, sekolah, penjara dan Youth Center. Kami mengunjungi muzium yang tedapat dalam kem ini. Di dalam muzium kami dapat melihat kesan peninggalan pengungsi Vietnam tersebut.

Selepas mengunjungi kem tersebut, kami menuju pulang ke Pulau Batam. Dalam perjalanan pulang,kami singgah di Agro Wisata Buah Naga Rempang Salang yang terkenal dengan Barelang Dragon Fruit. Kami mencuba buah naga yang telah disediakan.

Setelah tiba di Batam,Pemandu Pelancong membawa kami ke Kampung Oleh-Oleh yang terletak di Komp. PENUIN CENTRE BLOK B NO:14-15.Di sini terdapat pelbagai kraftangan yang dibuat oleh penduduk tempatan.Kami tidak melepaskan peluang untuk membeli cenderamata buat keluarga dan sahabat. Selepas itu,kami menuju ke Restoran Kendiri untuk menikmati makan tengah hari dan menunaikan solat.

Kemudian kami bertolak ke Terminal Feri Pulau Batam. Selepas selesai urusan bagasi, kami menaiki feri untuk pulang ke Malaysia. Keadaan laut yang bergelora telah memberi kesukaran kepada kami untuk menempuhi perjalanan selama sejam ini. Kami tiba di Terminal Feri Pasir Gudang lebih kurang pukul 7 malam. Kemudian kami menaiki bas SAMURA untuk bertolak pulang ke SAMURA. Dalam perjalanan pulang, kami singgah di Kawasan Rehat Dan Rawat Machap untuk makan malam dan solat. Sepanjang perjalanan pulang, kebanyakan dari kami mengambil peluang ini untuk melelapkan mata kerana kepenatan. Ada juga pelajar yang mengambil peluang ini untuk mengulang kaji pelajaran sebagai persediaan menghadapi Ujian 1 yang akan diadakan pada hari Selasa. Kami tiba di Samura pada pukul 11.55 malam.


Tiada ulasan: