Khamis, 20 November 2008

Program Pengantarabangsaan SAMURA ke TanjungPinang, Riau, Indonesia 2007





Sekolah Menengah Sains Muar membuka langkah untuk menyahut cabaran ini dengan melaksanakan Program Pengantarabangsaan bersama Sekolah Menengah Atas Negeri 2 TanjungPinang, Bintan, Republik Indosesia. Seramai dua puluh tujuh orang pelajar SAMURA terlibat dalam program ini ditemani oleh dua puluh dua orang guru dan staf serta ahli keluarga SAMURA. Anggaran kos keseluruhan ialah RM12,775.00 termasuk kos tambang (tiket), tempat penginapan dan makanan serta minuman sepanjang program berlangsung.

Memoribilia Perjalanan:


Hari Pertama (20 Ogos 2007)



6.00 pagi

Seawal jam 6.00 pagi rombongan pelajar dan guru SAMURA telah berkemas dan bertolak dari SM Sains Muar dengan menaiki dua buah kenderaan iaitu sebuah bas dan sebuah van menuju ke Jeti Setulang Laut di Johor Bahru sebelum bertolak ke Jeti Tanjungpinang.

Hujan renyai-renyai tidak melunturkan semangat ahli rombongan untuk meneruskan perjalanan.

1.00 tengah hari



Rombongan kami bertolak dari Jeti Setulang Laut, Johor Bahru ke Jeti TanjungPinang, Kepulauan Riau, Republik Indonesia dan memakan masa selama tiga jam perjalanan memang tidak dapat dilupakan.




3.00 petang

Pelajar dan Guru SAMURA tiba di Jeti TanjungPinang setelah mengharungi laut yang bergelora. Kegembiraan jelas terpancar di wajah peserta rombongan.




3.00 petang

Peserta program terus ke Hotel TanjungPinang untuk makan tengah hari sebelum dibawa ke SMAN2 Tanjungpinang untuk memulakan program yang dirancangkan.



4.00 petang

Ketibaan peserta rombongan telah disambut dengan paluan kompang dan bacaan selawat setibanya di pekarangan SMAN2 Tanjungpinang. Pak Hadi menyambut ketibaan kami dengan tangan terbuka.




5.00 petang

Seramai dua puluh tujuh orang pelajar telah diserahkan kepada keluarga angkat bagi melengkapi aktiviti pertama program pengantarabangsaan ini. Mereka dibawa pulang oleh pelajar-pelajar SMAN2 untuk menginap di rumah masing-masing. Bermulalah episod baru dalam pengalaman pelajar-pelajar SAMURA kerana dapat tinggal di rumah keluarga angkat masing-masing untuk mengenali dengan lebih dekat sosiobudaya dan cara hidup masyarakat serumpun.





8.00 malam

Sewkatu semua guru tinggal di Hotel Tanjungpinang, pelajar-pelajar SAMURA berkumpul di ‘Melayu Square’ bersama-sama pelajar-pelajar SMAN2 Tanjungpinang untuk berkongsi pengalaman, bertukar-tukar pendapat sesama mereka.
Hari Kedua (21 Ogos 2007)




7.00 pagi

Sempena Kemerdekaan Republik Indonesia yang ke-52 tahun, ‘Pawai’ diadakan hingga ke ceruk rantau. Peserta Program turut bersama-sama pelajar-pelajar SMAN2 TanjungPinang menyertai perbarisan ‘Pawai’ tersebut. Jati diri pelajar-pelajar SMAN2 terhadap negara mereka memang tinggi dan patut dicontohi.

3.00 petang

Pulau Penyengat adalah destinasi seterusnya. Lawatan ke tempat bersejarah ini dapat menyingkap pusat pentadbiran Riau-Johor. Di sinilah juga semadinya Raja Ali Haji, penulis Gurindam Dua Belas yang terkenal di Nusantara ini.
8.00 malam

Aktiviti seterusnya ialah Malam Kebudayaan yang diadakan di Gedung Aisyah. Pelajar-Pelajar SAMURA memulakan persembahan dengan Tarian-tarian Zapin, Joget dan Kuda Kepang, diikuti oleh dua buah lagu nasyid oleh serta bait-bait pantun oleh pemantun SAMURA.

Persembahan daripada pelajar-pelajar SMAN2 Tanjungpinang tidak kurang hebatnya. Memulakan persembahan dengan ’Asmaradana’, diikuti dengan pementasan teater berasaskan Gurindam Dua Belas, Karya Raja Ali Haji ’Fasal Pertama’. Persembahan nyanyian daripada Kumpulan Pancaragam memukau tetamu yang hadir.

Malam Kebudayaan dimulakan dengan ucapan alu-aluan daripada kedua-dua belah pihak berakhirnya dengan pertukaran cenderamata sebagai kenang-kenangan.

Hari Ketiga (22 Ogos 2007)

8.00 pagi

Bertempat di SMAN2 TanjungPinang pelajar-pelajar beradu tenaga dengan aktiviti kesukanan seperti bermain badminton, bola tampar, catur dan sebagainya. Semangat kesukanan ditunjukkan bagi melahirkan rasa ukhwah antara dua benua.

11.00 pagi

Selepas upacara majlis perpisahan, Pak Hadi dan Ayahanda Tuan Haji Samian bin Sawiyo melahirkan rasa syukur kerana program ini berjaya mengeratkan hubungan antara kedua-dua belah pihak dan berharap agar warga SMAN2 Tanjungpinang akan membuat kunjungan balas.

12.00 tengah hari

Bergegas pulang ke Hotel TanjungPinang untuk memberi peluang kepada pelajar-pelajar membeli-belah sebelum pulang ke tanah air.

3.00 petang

Bertolak pulang dari Jeti TanjungPinang ke Jeti Stulang Laut di Johor Bahru setelah menyelesaikan misi utama program.

9.00 malam

Tiba di SAMURA. Tugasan berjaya disempurnakan.

Refleksi

Program ini telah memberi manafaat kepada guru dan pelajar yang menyertai program ini. Perbandingan berkaitan sistem pendidikan dan soiobudaya telah membuka mata kami untuk menilai dan menghargai apa-apa yang kami miliki. Secara tidak langsung program ini dapat meningkatkan dan memantapkan sahsiah dan semangat patriotisme kami selain berkongsi pengalaman dengan rakan-rakan yang tidak dapat turut sama dalam program ini.

Kejayaan dan keberkesanan program ini akan menjadi kayu pengukur untuk penambahbaikan program seterusnya. Program ini juga akan diperluaskan lagi ke negara lain pada masa akan datang.

1 ulasan:

zilaothman berkata...

assalamualaikum, boleh saya mendapatkan maklumat melaksanakan program pengantarabangsaan ke indonesia. Pada tuan, sekolah menengah di indonesia yang mana hampir dengan pasir gudang kerana sekolah sy dekat dgn jeti the zon/ pasir gudang. harap boleh sampaikan ke e-mail saya "sejahtera1200@yahoo.com.my