Isnin, 11 Oktober 2010

Pengantarabangsaan SM Sains Muar ke Brunei Darussalam 8-10 Oktober 2010

Tanggal 8 Oktober 2010, Pasukan Pengantarabangsaan SAMURA seramai sembilan orang ahli yang terdiri daripada lima orang guru, seorang pegawai tadbir dan tiga orang pelajar telah mengadakan pengantarabangsaan ke Brunei Darussalam.
Pasukan Pengantarabangsaan SAMURA diketuai oleh Cikgu Mohammad Azman bin Abdul Hamid yang merupakan Guru Penolong Kanan Hal Ehwal Murid SM Sains Muar dan disertai oleh Cikgu Hajah Noorazianah binti Mohamed, Guru Kaunselor Cemerlang, Cikgu Hassan bin Jaffar, Guru Cemerlang Bahasa Malaysia, Cikgu Siti Norhida binti Osman@Othman, Ketua Panitia Bahasa Inggeris, Puan Rupiah bt A Rahman, Pegawai Tadbir Sekolah dan Cikgu Haji Zainudin bin Dirin selaku Penyelaras Program. Manakala tiga orang pelajar ialah Nadhirah binti Abdul Wahid dari kelas 5 Bijak, Fatin Hanani binti Fazail dari Kelas 4 Cerdik dan Nor Azeanty binti Mahmood dari kelas 4 Bijak.

Hari Pertama 8 Oktober 2010, kami bertolak dari SM Sains Muar menuju ke LCCT Sepang untuk menaiki pesawat Airasia pada pukul 3.00 petang. Walaupun lewat 30 minit tetapi kami tiba dan mendarat dengan selamat di Lapangan Terbang Miri pada pukul 6.30 petang dan terus mendaftar masuk di Hotel Miri. Bandar Miri menjadi laluan masuk ke Brunei kerana selain Brunei Darussalam, kami juga berhasrat melawat Bandar Miri dan tempat-tempat menariknya. Selepas mendaftar masuk di Hotel Miri, kami makan malam di Cafenika di Jalan Pahlawan bersama-sama. Hidangan mi kolok menjadi tarikan untuk kami mencubanya.
Hari Kedua 9 Oktober 2010, seawal 6.00 pagi kami sudah bersedia di lobi Hotel Miri untuk bersarapan sebelum bergerak ke Brunei Darussalam. Malangnya kebanyakan restoran mula beroperasi sekitar jam 7.30 pagi. Selepas Pemandu Pelancong tiba, kami singgah di Restoran untuk bersarapan sebelum meneruskan perjalanan ke Sekolah Menengah Masin yang mengambil masa selama dua jam setengah.
Pengalaman baru diperoleh sepanjang perjalanan menuju ke Sekolah Menengah Masin. Papan tanda nama kedai atau nama jalan dan sebagainya ditulis dengan tulisan rumi dan tulisan jawi menggambarkan masyarakat Melayu Brunei yang masih menyanjung tulisan jawi dalam kehidupan seharian.
Setibanya di Sekolah Menengah Masin pada pukul 10.30 pagi, kami disambut dengan paluan hadrah oleh pelajar-pelajar Sekolah Menengah Masin. Kami amat terharu dengan sambutan yang diberikan seawal di pintu masuk dan lobi sekolah. Ini menggambarkan bahawa kedatangan kami amat dialu-alukan. Kami seterusnya dibawa ke Bilik Persidangan. Selepas ucapan alu-aluan kami disajikan dengan minuman ringan. Pengetua Sekolah Menengah Masin, Cikgu Hajah Mariam binti Haji Ladi dalam ucapan alu-aluannya menyatakan bahawa rombongan daripada Sekolah Menengah Sains merupakan rombongan dari luar negara yang pertama pernah diterima oleh Sekolah Menengah Masin. Hal ini membanggakan kami juga kerana kami merupakan rombongan pertama yang menjalinkan persahabatan dengan Sekolah Menengah Masin.Ucapan balas disampaikan oleh ketua Rombongan iaitu Cikgu Mohammad Azman bin Abdul Hamid. Terima kasih yang tidak terhingga atas kesudian pihak Sekolah Menengah Masin menerima kunjungan kami. Dalam ucapan balas tersebut, Cikgu Mohammad Azman bi Abdul Hamid menjemput dan mempelawa warga Sekolah Menengah Masin untuk berkunjung balas dan datang ke Sekolah Menengah Sains Muar untuk meneruskan jalinan persahabatan. Taklimat tentang Sekolah Menengah Masin kemudiannya disampaikan oleh Pengetua dan majlis berakhir di situ dengan menandatangani surat perjanjian persahabatan dan jalinan yang mengakrukan bahawa tanggal 9 OKOBER 2010 terpaterilah persahabatan antara dua buah sekolah.
Rombongan kami kemudiannya di bawa melawat sekitar sekolah. Kemudahan infrastruktur yang canggih dan terbaharu memberikan impak kepada kami dan berharap agar suatu masa nanti sekolah kami juga mendapat kemudahan yang serupa.
Kami kemudiannya dibawa melawat, perpustakaan, bilik makmal, bilik seni dan akhirnya di bilik ERT. Tunjuk cara membuat dan menyediakan kuih tradisi masyarakat Brunei dibuat di situ selain tunjuk cara membuat ambuyat sejenis makanan tradisional masyarakat Brunei Darussalam. Bukan itu sahaja kami dihidangkan dengan pelbagai jenis makanan yang enak dan ada antaranya pertama kali dirasa dan dijumpai.Sebelum pulang majlis menyampaikan cenderamata dan buah tangan telah disampaikan oleh Cikgu Hajah Mariam binti Haji Ladi dan juga Cikgu Mohammad Azman bin Abdul Hamid. Rombongan kecil kami dilayan dengan layanan kelas pertama dan memang menjadi kenang-kenangan yang tidak dapat dilupakan.
Buah tangan yang diberi di samping Cenderamata untuk Sekolah yang sangat cantik. Sebelum pulang kami sempat bergambar bersama-sama di pekarangan sekolah. Semoga persahabatan yang terjalin akan berkekalan dan kami menanti kunjungan balas daripada warga Sekolah Menengah Masin ke sekolah kami.
Selesai mengunjungi Sekolah Menengah Masin, kami menuju ke Bandar Seri Begawan dan tempat pertama yang dilawati ialah Galeria barang-barang kebesesaran Raja-Raj Brunei Darussalam. Kemudian kami makan tengah hari di sebuah restoran dan menuju ke Masjid Sultan Bolkiah untuk menunaikan sembahyang Jamak Qasar Zuhor dan Asar. Kemudian buat pertama kalinya kami menaiki bot untuk melihat dengan mata sendiri petempatan di kampung air di Bandar Seri Begawan yang merupakan petempatan Kampung Air yang terbesar di Asia. Petempatan ini mengandungi populasi seramai 30,000 orang penduduk, 33 buah kampung kecil, ada sekolah rendah, sekolah menengah, balai polis, balai bomba, masjid dan pelbagai kemudahan lain.
Hari Ketiga 10 Oktober 2010, Seawal jam 7.00 pagi kami keluar mencari sarapan, akhirnya menemui Restoran Muara di Bandar Miri, Mencuba Nasi Lelapan, selain Mi Kolok. Kemudian kami mengunjungi Sekolah Menengah Sains Miri sebagai pemanis budi kerana meminjamkan pemandu dan bas sepanjang lawatan pada hari Jumaat dan hari Ahad. Bertemu dengan Cikgu Nor Hisham Guru Penolong Kanan Hal Ehwal Murid Sekolah Menengah Sains Miri, persekitaran yang bersih, ceria dan penuh dengan informasi memberikan kami semangat untuk mengindahkan pekarangan SAMURA pada masa akan datang.

Kami mengunjungi GRAND OLD LADY di atas puncak bukit. Merupakan tempat pertama lokasi minyak ditemui di Miri. Sempat mengunjungi Museum Petroleum. Memang bangunan yang berbentuk moden memberikan nafas baru apatah lagi kedudukannya di atas bukit yang jelas dari kejauhan banjaran Gunung Mulu, gunung tertua di dunia. Kemudiannya ke Kilang Kek Batik di tepian sungai dan akhirnya ke Borneo Handicraf sebelum hi-tea di Hotel Megah.
Bertolak pulang pada pukul 2.00 petang ke Lapangan Terbang Miri, walaupun penerbangan lewat hampir 2 jam, kami tiba dengan selamat di LCCT Sepang pada pukul 9.30 malam.
Berita kemalangan jalan raya di lebuh raya yang mengorbankan 12 nyawa menyebabkan kami memilih jalan alternatif iaitu jalan lama untuk pulang ke SAMURA. Kami selamat tiba di SAMURA tepat jam 1.45 pagi 11 Oktober 2010. Misi terlaksana sepenuhnya.

Rabu, 7 Julai 2010

PENGANTARABANGSAAN KE-IV SINGAPURA 1 JULAI 2010

Tanggal 1 Julai 2010 seramai 5 orang guru dan 30 orang pelajar telah mengadakan Program Pengantarabangsaan SM Sains Muar dengan Madrasah AL-Junied, Singapura. Antara tujuan program diadakan adalah untuk menjalinkan perkongsian pintar dan kepakaran antara guru kedua-dua buah institusi. Selain itu, tujuan program ini adalah untuk berkongsi maklumat tentang sistem pendidikan serta memberi peluang kepada pelajar melakukan aktiviti disamping mencari wakil untuk berkomunikasi secara interaktif dan bertukar-tukar maklumat secara berterusan.
Seawal 6.00 pagi, rombongan pengantarabangsaan bertolak dari SM Sains Muar menuju Laluan Kedua menuju Singapura menggunakan bas yang disewa khas. Berhenti bersarapan pagi di R&R Gelang Patah sebelum bertolak ke Pejabat Imigresen. Setelah menjalani pemeriksaan di Pejabat Imigresen kedua-dua buah negara, kami terus menuju ke Madrasah Al-Junied. Kami disambut oleh Puan Khairana selalu Timbalan naib Mudir Madrasah.

Penerangan tentang sistem pendidikan di Madrasah al_Junied dapat memberikan gambaran yang jelas tentang perjalanan madrasah. Kami juga dibawa melawat sekitar bangunan Madrasah serta diperkenalkan dengan guru-guru dan pelajar-pelajar madrasah.


Seorang pelajar dari SM Sains Muar, Nur Ashikin bt Mohd Miskam telah memperdengarkan bacaan al-Quran manakala penyanyi nyasid dari Madrasah al-Junied iaitu Saudara Syammil telah mendendangkan lagu dari albumnya yang bertajuk "Hasbi Rabbi".

Tuan Haji Samian bin Sawiyo, Pengetua Kanan SM Sains Muar, merangkap Ketua Rombongan telah menandatangani MoU dengan Tuan Mokson Mahori, Naib Mudir Madrasah al-Junied. Maka terlakrilah perjanjian persahabatan antara dua buah institusi untuk mengadakan hubungan dua hala antara kedua-dua belah pihak pada masa akan datang dalam pelbagai bidang termasuk pertukaran kepakaran dan teknologi.


Pada sebelah petangnya kami berangkat ke Pulau Sentosa untuk melihat dengan lebih dekat tentang Singapura. Setelah menaiki LRT menuju ke Pulau Sentosa, kami makan tengah hari di sebuah restoran di situ. Selepas itu kami mengunjungi The Images of Singapore, menaiki Luge dan juga Skywalker untuk menikmati pemandangan di Pulau Sentosa.


Kami bertolak pulang ke SM Sains Muar pada pukul 6.00 petang. Selepas melalui pemeriksaan di Pejabat Imigresen dan berhenti rehat di R&R Machap, kami pun terus pulang dan tiba di SM Sains Muar pada pukul 11.00 malam.


Sabtu, 19 Jun 2010

Sabtu, 5 Jun 2010

Vietnam 7-10 Jun 2010


Pengantarabangsaan SM Sains Muar, Ledang, Johor Darul Takzim bagi tahun 2010 ialah ke Ho Chih Minh City, Vietnam. Antara rasional memilih Vietnam sebagai tempat pengantarabangsaan adalah untuk memberikan kesedaran tentang 'Kesan Peperangan kepada Manusia' dalam kalangan para peseta.

Hari Pertama: 7 Jun 2010)

Seawal 12.00 tengah malam, 7 Jun 2010 seramai 8 orang guru berangkat ke Lapangan Terbang Tambang Murah untuk ke Ho Chih Minh City, Vietnam bagi menyempurakan Program Pengantarabangsaan ke-4. Tiba awal kira-kira pukul 3.30 pagi, semua peserta menunggu dengan sabar 12 orang lagi pelajar yang akan turut serta dalam program ini.

Menunggu di balai berlepas LCCT setelah check-in tidaklah lama. Tiada wang Vietnam Dong yang disediakan di Penggurup Wang di situ. Kemudian tepat pukul 9.15 pagi kami berlepas dengan pesawat AAK880 ke Lapangan Terbang Vietnam. Penerbangan mengambil masa 1jam 55 minit dengan masa tambahan 10 minit kerana kesesakan ruang udara di lapangan terbang itu.

Setelah mendarat, proses imigresen berjalan seperti biasa, cuma agak lewat sedikit kerana masalah gangguan komputer. Menaiki bas pendek yang disediakan terus ke Pejabat Jeneral Konsulat di tengah-tengah bandar raya Ho Chih Minh.

Mengunjungi Jeneral Konsulat di HCMC sungguh menyeronokkan kerana beliau seorang yang peramah dan mengalu-alukan kedatangan kami. Kata-kata perangsang yang diberikan amat memotivasikan kami semua dan berharap agar sentiasa mendapat sokongan daripada pihak kedutaan pada masa akan datang.

Selepas mengunjungan Jeneral Konsulat Malaysia di Vietnam, kami dibawa makan tengah hari di sebuah restoran Tandor yang merupakan makanan pedas daripada Kashmir . Makanan yang dihidangkan menjadi hidangan tengah hari. pada hari ini . Banyak sungguh makanan dan memang seronok dapat makan beramai-ramai begini.

Tempat kedua yang dilawati ialah di Muzium peperangan. Kesan peperangan yang digambarkan melalui gambar-gambar banyak mengesankan hati peserta mengunjungi bangunan ini. Kita sepatunya bersyukur atas keamanan yang ada di Malaysia. Kelihatan juga diorama rakyat Vietnam yang diseksa oleh tentera Amerika dalam Penjara yang dibina sekitar Muzium Peperangan itu. Dalam perjalanan pulang melihat keadaan kesesakan jalan raya di HCMC yang berbeza sama sekali dengan kesesakan jalan raya di Malaysia.

Hari Kedua: 8 Jun 2010)


Pagi ini kami akan mengunjungi HUFO (Ho Chih Min City Union of Friendship) untuk atur cara pengantarabangsaan yang kedua. Kami disambut dengan meriah oleh kakitangan HUFO dan juga siswa dari universiti tempatan di HCMC.

Selepas ucapan daripada Pengarah HUFO, ucapan balas diberikan oleh Tuan Haji Samian bin Sawiyo. Diikuti dengan persembahan tarian daripada siswa universiti HCMC. Peserta progam daripada SAMURA membuat persembahan Klip Video tentang Malaysia dan SAMURA dengan cara santai dan menarik. Kemudian empat orang peserta menarikan tarian zapin diikuti dengan penerangan tentang Batik dan Wau dan diakhiri dengan pembacaan sajak tentang kehidupan dan kemanusiaan.

Selepas itu peserta program melawat Chu Chi Tunnel iaitu terowong yang digunakan oleh tentera vietnam sewaktu peperangan dengan tentera Amerika Syarikat. Pengalaman melalui terowong tersebut amat menyeronokkan dan mengesankan kerana pengalaman itu amat berguna bagi memberi kesedaran kepada peserta tentang kesan peperangan kepada manusia dan perlunya menghargai kemerdekaan sesebuah negara.

Hari Ketiga: 9 Jun 2010)



Selepas sarapan pagi, kami berangkat ke Kolej Teknikal Ley Tru Trong, untuk melakukan atur cara rasmi di sana. Kami disambut dengan meriah, diberi penerangan tentang kolej oleh Timbalan Rektor dan menyaksikan pertunjukan klip video tentang kolej, selepas ucapan dan ucapan balas, pelajar-pelajar SAMURA juga mempersembahkan klip video tentang Malaysia dan juga sekolah. Selepas menandatangani MoU antara SM Sains Muar dan Kolej Teknikal Ley Tu Trong, kami melihat keadaan sekeling Kolej.



Akhirnya pelajar SAMURA membuat persembahan di hadapan ratusan pelajar kolej dengan persembahan tarian zapin, penerangan tentang kraf batik dan juga pembacaan puisi. Mereka terhibur walaupun berlainan bahasa.

Pada sebelah petangnya kami sempat mengunjungi Perkampungan Melayu Champa di tengah-tengah kota Ho Chih Minh. Selain mengunjungi pasar borong dan melihat sendiri cara perdagangan tekstil di sini.

Hari Keempat: 10 Jun 2010)

Selepas check-out, kami bertolak ke Restoran Lion City in Saigon, untuk menikmati sarapan pagi mi goreng mamak. Kemudian bertolak ke Dataran Mekong untuk menyusuri sungai Mekong dengan menaiki bot ke pulau berhampiran. Pulau yang dijadikan sebagai pulau pelancongan menyajikan pelancongan pertanian. Menempatkan pusat kraf dan penjualan madu, polen dan halwa, barangan yang dijual lebih murah daripada tempat lain di HCMC.
Mendapatkan pengalaman menaiki sampan menyusuri sungai kecil di situ sehingga ke muara Sungai Mekong memang kenangan yang sukar dilupakan oleh semua. Bertolak pulang ke Bandar Saigon (HCMC) dan menikmati makan tengah hari terakhir sebelum bersolat Jamak Takhir di Masjid Dong, masjid tertua dan terbesar di HCMC.

Sebelum pulang sempat bertemu dengan Tuan Helmy bin Sulaiman, Pengarah MEPC dan isterinya. Beliau banyak membantu kembara kali ini dari awal hingga akhir. Jasa beliau tidak dapat dilupakan. Kami bertolak ke Lapangan Terbang HCMC dan berlepas pulang pada pukul 7.55 petang dan tiba di LCCT Sepang pada pukul 10.55 malam. Semua pelajar diambil oleh ahli keluarga masing-masing dan guru pula bertolak pulang ke SAMURA dan selamat tiba pada pukul 2.45 pagi di SAMURA bumi bertuah.