Ahad, 18 Disember 2011

Singapura 13 Oktober 2011

KEMBARA SAMURA @ SINGAPURA – 13 OKTOBER 2011

7.00 PAGI

Para pelajar berkumpul di hadapan Bilik Gerakan Warden. Turut kelihatan 4 orang guru serta 4 orang staf sokongan yang mengikuti lawatan ini. Kami memulakan perjalanan kira-kira setengah jam kemudian menaiki bas dua tingkat (double-decker). Sungguh mengujakan rasanya dapat menaiki bas yang agak mewah itu. Dalam perjalanan, kami singgah sebentar di kawasan R&R Pagoh.

10.30 PAGI

Kami tiba di Kompleks Imigresen Sultan Abu Bakar yang terletak di LinKedua, sebelum menyeberangi jambatan yang merentasi Selat Tebrau. Selesai urusan imigresen di Kompleks Imigresen Singapura, kami terus menuju ke Madrasah al-Junied al-Islamiah yang terletak di Victoria Lane. Dalam perjalanan ke sana, mata kami tidak lekang daripada melihat keunikan seni bina bangunan di Singapura yang begitu moden dan futuristik. Lensa kamera kami juga senantiasa merakamkan imej pembangunan urban di Singapura yang dilihat cukup terancang dan sempurna.

11.45 PAGI

Kami tiba di Madrasah al-Junied. Ketibaan kami disambut oleh Penolong Timbalan Pengetua sekolah itu, Cik Khairina Zainal Abidin yang turut memberi penerangan secara ringkas dan terperinci tentang perjalanan pengurusan sekolah itu. Selepas itu, Tn. Hj. Jaaffar selaku Guru Penolong Kanan Ko-kurikulum SAMURA menyampaikan ucapan balas serta menyampaikan rasa penghargaan kepada pihak pentadbiran Madrasah al-Junied kerana sudi menerima kehadiran rombongan dari SAMURA.

Selepas upacara pertukaran cenderamata dan makan tengah hari, kami dibawa melawat ke sekitar sekolah tersebut. Kami berasa kagum dengan kemajuan infrastruktur yang terdapat di sekolah itu, malah kami berasa lebih kagum apabila dimaklumkan bahawa kemudahan yang terdapat si situ adalah hasil sumbangan daripada ibu bapa pelajar sendiri. Pujian seharusnya diberikan kepada mereka kerana sanggup berkorban dari segi masa dan tenaga demi memastikan syiar Islam terus subur dalam kalangan generasi muda Melayu di bumi Temasik ini.

Sebelum melangkah keluar, kami tidak melepaskan peluang untuk merakamkan foto untuk dijadikan sebagai bukti kunjungan ke Madrasah al-Junied ini. Perasaan gembira dan sedih menguasai benak fikiran kami tatkala menaiki bas untuk meninggalkan sekolah itu. Andai ada peluang, ingin sekali kami bertandang ke sekolah ini lagi.

2.30 PETANG

Sebelum meneruskan perjalanan ke destinasi seterusnya, kami singgah di Masjid Sultan untuk menunaikan solat. Kami berasa sungguh kagum melihat seni bina masjid itu yang begitu cantik dan indah. Kemudian, kami dibawa ke The Merlion bagi merakamkan lebih banyak gambar untuk menjadi tatapan keluarga dan rakan apabila kembali ke Malaysia. Perasaan kagum kami semakin memuncak apabila melihat pelbagai bangunan yang sofistikated bentuk dan rupanya menghiasi kiri dan kanan kawasan Marina Bay di situ. Pastinya, kami tidak melepaskan peluang keemasan untuk merakamkan imej bangunan terbabit sebagai kenangan yang tidak akan kami lupakan. Kemudian, kami terus menuju ke destinasi terakhir: Universal Studios Singapura (USS) di Pulau Sentosa.

3.45 PETANG

Di USS, para pelajar, guru dan staf sokongan melakukan aktiviti secara individu. Ada yang mengambil lebih banyak gambar, termasuklah gambar glob Universal Studios yang masyhur itu, manakala ada pula yang membeli cenderamata tanda kenang-kenangan untuk dibawa pulang. Terbit suatu rasa kepuasan dalam hati kerana walaupun tidak dapat memasuki kawasan USS, pengalaman berada di pekarangan USS tetap mengujakan dan tidak mampu kami lupakan, sementelahan pula studio itu baru sahaja dibuka beberapa bulan yang lalu. Jika tiada aral melintang, pasti USS akan menjadi destinasi wajib kunjung pada masa yang akan datang.

5.00 PETANG

Setelah puas menghabiskan masa di pekarangan USS yang begitu luas itu, akhirnya kami memulakan perjalanan pulang ke SAMURA. Dalam perjalanan, kami singgah sebentar di kawasan R&R Machap untuk menjamu selera serta menunaikan solat. Sungguhpun berasa amat letih kerana seharian mengembara, namun sebahagian besar daripada kami tetap gembira kerana dapat memijakkan kaki ke Kota Singa buat kali pertama. Semoga kunjungan ini bukanlah yang pertama dan terakhir buat kami. Kami tiba di SAMURA pada kira-kira jam 10.00 malam.

Tiada ulasan: